NEW YORK – Saksi dalam perbicaraan rasuah bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng, memberi keterangan bahawa bekas ketua Goldman, Lloyd Blankfein, telah bertemu dengan perdana menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, pada tahun 2009 sebelum mengurus bon besar untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Sebagai balasan kepada perniagaan yang menguntungkan itu, TIGA (3) anak Najib akan mendapat pekerjaan di bank itu.
Ini dikatakan bekas pengerusi Asia Tenggara Tim Leissner kepada juri pada hari Selasa (22 Feb) semasa hari kedua memberi keterangan mengenai skim 1MDB.
Menurut laporan BloombergQuint, Leissner, 52, berkata Ng selaku pekerja bawahannya dan sekumpulan rakan kongsi terpilih Goldman merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan Malaysia. Beliau telah mengaku bersalah atas pengubahan wang haram dan rasuah pegawai asing.
Manakala Ng, yang juga bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, didakwa bersubahat dengannya untuk ‘mencuci’ wang dan melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat. Ng adalah satu-satunya bekas pekerja bank Goldman yang dibicarakan dalam skandal itu.
Leissner memberi keterangan bahawa Ng memberitahunya Najib akan datang ke New York untuk melawat anak-anaknya di AS untuk perayaan ‘Thanksgiving’ dan orang kanan Najib yang kini diburu, Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, pula berpendapat ianya peluang yang terbaik untuk Blankfein dan Najib untuk bertemu dan membincangkan bon tersebut.
Selepas bertemu dengan Jho Low, Ng berkata Najib mahu mendapatkan anak-anaknya pekerjaan di Goldman, Leissner memberitahu juri di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York.

Ng, yang pergi ke New York untuk bertemu dengan majikannya memberitahu Leissner bahawa dia pernah bertemu dengan anak-anak Najib sendiri, menurut Leissner.
“Baru sahaja bertemu tiga anak PM di apartmennya, saya bersama Jho di apartmennya,” Leissner membacakan kepada juri daripada e-mel.
Dia berkata Ng menambah, “Bertemu dengannya lagi esok dan akan berusaha mendapatkan tiga anaknya untuk menyertai Goldman Sachs.”
Leissner tidak menyatakan keraguan tetapi sebaliknya dengan penuh semangat menjawab, “Bunyinya bagus, mari masukkan mereka.”
Beliau menjelaskan alasannya, dengan berkata, “Perdana menteri Malaysia berpotensi menjadi perniagaan yang hebat untuk kita, jadi saya merasakan anak-anak perdana menteri bekerja untuk kita berpotensi dilihat, bukan hanya untuk perdana menteri tetapi semuanya. Yang lain di Asia akan mengambil perhatian”.
Akhirnya, Leissner memberi keterangan bahawa dia ada membantu mendapatkan anak perempuan Najib pekerjaan di syarikat swasta Texas Pacific Group.
Terdahulu, Leissner memberi keterangan bahawa untuk mengaburkan peranan Jho Low dalam usaha mengumpul dana mereka untuk 1MDB, mereka menggunakan nama kod untuknya termasuk rakan-rakan dari Pejabat Perdana Menteri Malaysia.

Dia memberitahu mahkamah bahawa dia dan Ng bersama pegawai kanan Goldman termasuk Andrea Vella, bekas ketua pelaburan bersama di Asia menggunakan nama kod itu untuk menyembunyikan sejauh mana penglibatan Jho Low dalam projek pengumpulan dana daripada rakan kongsi lain.
“Sekiranya kami menaikkan namanya dalam kapasiti sebenar, kami tidak akan diluluskan oleh pegawai pengawasan Goldman. Ia adalah bendera merah yang akan menghentikan transaksi itu,” kata Leissner.
Beliau turut memberitahu juri bagaimana kumpulan yang sama memutuskan untuk mengakui beberapa tahap penglibatan Jho Low kerana dia sudah pun dikaitkan secara terbuka dengan 1MDB.
Apabila ditanya oleh kakitangan pengawasan Goldman, Leissner berkata akhirnya mereka bersetuju untuk mengatakan Jho Low mempunyai kaitan dengan dana terdahulu 1MDB dan bahawa dia mempunyai hubungan dengan Abu Dhabi, di mana entiti kerajaan negara itu telah bersetuju untuk memberikan sokongan untuk 1MDB.