KOTA KINABALU, SABAH – Polis telah menahan seorang suspek berumur 43 tahun yang dipercayai menjerut dan membunuh seorang mangsa lelaki dengan menggunakan wayar.
Pada kira-kira jam 8 malam semalam, mayat mangsa berumur 25 tahun tersebut ditemui isteri dan ahli keluarga di kawasan semak pada Jalan Kionsom Lama, Inanam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek ditahan di rumah sewanya di Kampung Bambangan, Inanam pada jam 11.20 pagi tadi.
Katanya, telefon pintar milik mangsa turut berada dalam simpanan suspek yang berkerja sebagai tukang cat kenderaan…
Berdasarkan pengakuan dan barangan yang dirampas Polis percaya kes bunuh itu diselesaikan dalam tempoh kurang sehari.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan sebelum pendakwaan terhadap suspek dijalankan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan awal pihak polis, mangsa dikatakan dihantar bapanya ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan suspek kira-kira jam 1 petang semalam.
“Mangsa sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya namun usaha mencari mangsa gagal…
“Pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Kecemasan Hospital Likas mengesahkan mangsa dipercayai mati dalam tempoh lebih enam jam sebelum ditemui akibat dijerut di leher,” tambahnya.
Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) bagi tujuan bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.





