KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas tertimbus runtuhan tanah sedalam kira-kira 10 kaki ketika menjalankan kerja-kerja menggali dan menanam paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Balai pada jam 1.45 tengah hari.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dengan kekuatan 12 anggota bersama satu jentera FRT dan sebuah kenderaan utiliti Vigo dikejarkan ke lokasi sejauh 14 kilometer, sebelum tiba pada jam 2.03 petang.
Menurut Komander Operasi, PBK I Judi Trisna, pasukan bomba bertindak menggali tanah di lokasi mangsa tertimbus sebelum berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung (stretcher).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 petang.
Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dua anggota dan KKM seramai tiga pegawai perubatan.






