
LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya memintas dan menggagalkan cubaan menyeludup rokok di kawasan perairan Hutan Simpan Muara Sungai Timbadu Lahad Datu, Ahad lepas.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata menerusi penugasan Op Pluto Timur, bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan pergerakan sebuah bot dalam keadaan yang mencurigakan sekitar pukul 8.30 malam di kawasan perairan Sungai Timbadu Lahad Datu.
“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, pengemudi bot tersebut bertindak meloloskan diri dengan memecut laju dan berjaya melarikan diri dengan menuju ke kawasan lerairan Sungai Timbadu serta bertindak membuang tiga bungkusan plastik berwarna hitam ketika aksi kejar mengejar.
“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan yang dibuang mendapati sejumlah 600 kotak rokok putih dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan. Anggaran nilai rampasan rokok hampir RM8,000.
“Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di Zon Maritim Malaysia.






