Lahad Datu Sentral Beri Perkhidmatan Pengangkutan Awam Teratur Dan Selesa Buat Masyarakat

Lahad Datu Sentral Beri Perkhidmatan Pengangkutan Awam Teratur Dan Selesa Buat Masyarakat

0
SHARE
Pusat Bandar Palma Pertama dan Lahad Datu Sentral (pada sudut kiri atas)...

LAHAD DATU, SABAH – Daerah ini kini mempunyai sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang teratur dan selesa bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat dan pelancong dengan pembukaan Terminal Bas dan Teksi First Palm City Centre (FPCC), yang juga dikenali sebagai Lahad Datu Sentral.

Pembukaan terminal bas dan teksi baharu ini disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang diwakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu majlis yang berlangsung di sini hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (tengah), mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, bersama Pengerusi LPPB Datuk Masiung Banah (kiri), Pegawai Daerah Lahad Datu Dr Mohd Ayub Yaacob (dua kiri), Penasihat Kumpulan Titijaya Land Berhad Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng (dua kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad Lim Poh Yit (kanan) sedang memotong reben untuk menandakan pembukaan Lahad Datu Sentral…

Terminal itu adalah usaha sama antara Titijaya Land Berhad, pemaju FPCC dan Lembaga Kemajuan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB).

FPCC ialah projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada kedai komersial, komponen runcit, dan Pasar Raya Econsave pada tanah seluas 58.8 ekar di pusat bandar ini.

Mengucapkan tahniah di atas pembukaan terminal itu, Ketua Menteri dalam ucapan yang dibacakan Masidi berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha pengangkutan awam di daerah ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menerima cenderahati daripada Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad Lim Poh Yit (kanan), manakala Pengerusi LPPB Datuk Masiung Banah (kiri), Pegawai Daerah Lahad Datu Dr Mohd Ayub Yaacob (dua kiri) dan Penasihat Kumpulan Titijaya Land Berhad Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng (dua kanan) sambil melihat…

Selain itu, Hajiji juga berharap ia dapat memberi keselesaan kepada semua pengguna perkhidmatan bas dan teksi termasuk pengunjung ke daerah ini.

Beliau berkata kemudahan baharu yang menaik taraf sistem perkhidmatan pengangkutan awam dan menyediakan kesejahteraan khususnya kepada masyarakat setempat ini juga selaras dengan salah satu teras utama Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kerajaan Negeri iaitu rangkaian infrastruktur dan kelestarian hijau.

Dalam hal ini, katanya, daerah Lahad Datu kini mempunyai rangkaian infrastruktur terbaik demi kesejahteraan rakyat Lahad Datu sendiri.

Kemudahan yang disediakan Kerajaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna bas dan teksi di daerah ini termasuk pelancong malah menjadikan sistem pengangkutan daerah lebih teratur.

“Seperti yang kita tahu, Lahad Datu juga antara daerah yang mempunyai banyak tempat tarikan pelancong seperti Hutan Simpan Tabin, Lembah Danum dan Gua Madai selain pantai dan air terjun yang cantik, maka sudah tentu terminal bas dan teksi ini akan menyediakan kemudahan kepada pelancong yang ingin mengunjungi tempat-tempat ini…

“Ini akan membantu usaha Kerajaan Negeri untuk menggiatkan semula sektor pelancongan di negeri ini yang turut terjejas akibat wabak COVID-19,” kata Ketua Menteri.

Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Dr Mohd Ayub Yaacob mengucapkan terima kasih kepada pemaju First Palm City Centre kerana membina terminal itu yang dinanti-nantikan rakyat sejak sekian lama termasuk pengusaha bas dan teksi di daerah itu.

Beliau yakin kemudahan tersebut memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Katanya sebelum ini pengusaha bas dan teksi hanya meletakkan kenderaan di tepi jalan.

“Terminal ini boleh menjadikan Lahad Datu sebagai antara hentian utama di Pantai Timur Sabah,” katanya sambil menambah terminal itu dibina di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Lim Poh Yit berkata terminal bas dan teksi, yang merupakan salah satu komponen penting FPCC, adalah untuk perkhidmatan pengangkutan awam dalam daerah dan jarak jauh.

“Saya yakin terminal bas dan teksi ini akan dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di sini kerana ia mengurangkan masa perjalanan di bandar dan ke destinasi lain di seluruh Sabah,” katanya.

Tambahnya, terminal itu sudah pasti memberi kemudahan kepada penduduk setempat, menambah baik sistem perhubungan darat dan memacu pelancongan di daerah ini.

Dengan pembukaan terminal itu, FPCC selangkah lebih hampir kepada matlamatnya untuk menjadi pusat sehenti terutamanya dengan lokasinya berdekatan dengan Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan lapangan terbang.

Lim turut memaklumkan selain terminal, Titijaya Land Berhad turut menumpukan kepada bangunan kedai komersialnya yang baru siap di sekitar kawasan terminal.

Beliau mengalu-alukan pemilik perniagaan yang ingin mengembangkan aktiviti perniagaan mereka serta mereka yang terlibat dalam perniagaan permulaan untuk ke FPCC.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan pengumuman yang dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu mengenai sembilan cadangan pelaburan dari dalam dan luar negara bernilai RM882 juta yang diterima POIC Lahad Datu, yang mana beliau berkata itu juga berita baik untuk FPCC.