LAHAD DATU SABAH – Majlis Daerah Lahad Datu merupakan daerah pertama di Sabah yang mempunyai Pelan Daerah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pengurusan hal berkaitan COVID-19 di daerah Lahad Datu juga sangat membanggakan dan ianya dapat dilihat melalui kes yang sangat rendah setiap hari.
“Bukan jumlah kes yang dibimbangkan sekarang tetapi adalah pada kategori apa jangkitan tersebut…
“Yang membimbangkan apabila pesakit berada dalam Kategori 3, 4 dan 5. Kita tidak mahu membebankan pengurusan hospital kerana kategori ini memerlukan rawatan di hospital,” katanya.
Menurut beliau 96 peratus (96%) kes di seluruh Sabah hanyalah berada dalam Kategori 1 atau 2.
Katanya, ramai individu beranggapan mereka menjadi kebal kepada COVID-19 setelah divaksin.
“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat penting. Lebih dari 66 peratus (66%) daripada jumlah jangkitan setiap hari adalah daripada mereka yang sudah divaksin…
“Patuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), patuhi SOP dan risiko jangkitan akan menjadi rendah,” tegasnya.
Beliau berkata tugas tersebut menjadi tanggungjawab semua penduduk negara untuk menyedarkan masyarakat sekeliling untuk tidak menjadi agen penyakit di rumah sendiri.
“Asas mana-mana pengurusan yang efektif adalah KISS (keep it short and simple). Dengan arahan yang mudah difahamai komunikasi menjadi berkesan dan maklumat lebih mudah disampaikan kepada staf pelaksana,” jelasnya.
Beliau mengajak melihat kerja hakiki sebagai amal ibadah.
“Kerja sebagai amal ibadah. Bila kita menganggap ia sebagai amal ibadah, di dunia kita dapat gaji atau naik pangkat…
“Tetapi di alam lain kita memperoleh pahala. Dari sudut lain, kita tidak akan rasa penat dan beban kerja akan terasa ringan kerana niat atau nawaitu kita kerana Allah Taala.
“Anggap kerja sebagai hobi. Tidak ada yang berat selagi perkara atau kerja itu sesungguhnya adalah hobi kita.
“Jangan ada sangkaan tidak baik kepada orang lain. Jangan ada rasa dengki. Kita tidak berhak menghakimi kerana yang hanya boleh menghakimi ialah Allah Taala,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa wang pada dunia ini adalah penting namun tidak menjamin kebahagiaan.
“Yang penting kerja keras dengan jujur dan ikhlas. Dapat disimpulkan, kerja keras dan redha apa yang ada. Anggap kerja sebagai ibadah dan hobi,” katanya dalam ucapan lawatan kerja rasmi ke Majlis Daerah Lahad Datu kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau berkata tiada halangan untuk menaiktaraf status Majlis kepada Perbandaran sekiranya layak.
Ketika ini, katanya, Lahad Datu dan Penampang sedang dalam pertimbangan untuk dinaikkan status kepada Majlis Perbandaran.
“Naiktaraf ini akan diadakan serentak. Pada masa akan datang, Kementerian bercadang untuk melaksanakan dasar baru iaitu pemberian konsesi pelupusan sampah dalam bentuk di mana pembida hendaklah melaksanakan pelupusan berlandaskan sistem atau teknologi kitar semula…
“Ini kerana kita sudah tidak cukup tempat pelupusan malah kaedah itu sudah ketinggalan zaman.
“Setiap warga kerja Majlis Daerah Lahad Datu dan ahli-ahlinyaharus memiliki sifat berhala tuju, kesegeraan dan akal untuk cekap bekerja,” ujarnya.