KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah berjaya menumpaskan aktiviti mengebom ikan di laut perairan Tanjung Wokong, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata, pasukan operasi yang sedang melaksanakan tugas rondaan telah mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jam lebih kurang 7.22 malam.
Menyedari kehadiran bot ronda maritim, kru bot tersebut telah terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang menuju ke daratan berhampiran.
“Setelah diperiksa di dalam bot pam tanpa nombor pendaftaran tersebut, terdapat beberapa fius dan sekotak mancis kayu disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan, serta turut dijumpai satu tong berwarna merah yang penuh berisi ikan pelbagai jenis…
“Hasil pemeriksaan awal ke atas ikan di dalam tong mendapati perut ikan telah hancur disyaki kesan dari aktiviti mengebom.
“Bot pam tersebut kemudiannya ditunda masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah di Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Menurut Rosli, mengikut undang-undang, sesiapa yang melakukan aktiviti mengebom ikan boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26, merangkumi menangkap ikan dengan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.
Denda boleh dikenakan jika didapati bersalah dan jika vesel yang berkenaan itu ialah vesel penangkap ikan asing atau orang yang berkenaan itu ialah rakyat negara asing, denda tidak melebihi RM6 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda, dan RM600 ribu dalam hal tiap-tiap anggota kru boleh dikenakan.
Manakala hukuman yang boleh dikenakan untuk warga tempatan ialab di bawah Seksyen 25 (b), denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
“Maritim Negeri Sabah memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti jenayah yang berlaku di laut terutamanya pencerobohan bot nelayan asing…
“Komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa peka dengan keselamatan diri serta keluarga semasa melakukan aktiviti rekreasi di pesisir pantai dan di laut.
“Sentiasa ambil berat terhadap perubahan keadaan cuaca agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini semasa bercuti bersama keluarga,” tambahnya.





