
KOTA BELUD, SABAH – Seramai 52 usahawan kecil di daerah ini menerima bantuan mesin pemprosesan makanan melalui program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana Sabah (BAIKS).
Menyerahkan peralatan yang bernilai kira-kira RM 310,000 secara keseluruhan itu ialah Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Katanya kerjasama antara pengusaha tempatan dan kerajaan mampu mengembangkan aktiviti keusahawanan khususnya dari segi pengeluaran produk yang eksotik seperti penjaram, ikan liking, parang, ikan bilis dan kraftangan.

“Semoga dengan bantuan kerajaan ini yang dilaksanakan oleh Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), akan menjadikan daerah Kota Belud antara daerah yang mewujudkan lebih ramai lagi usahawan dan mengeluarkan lebih banyak produk yang berkualiti dan diminati oleh pembeli-pembeli,” kata beliau.
Beliau berkata seorang usahawan yang berjaya bukan sahaja mampu mengeluarkan produk dan menjualnya di pasaran tetapi terus maju ke hadapan dengan mengambil kira penggunaan tekonlogi moden.

“Dalam usaha memperkembangkan sektor industri kecil dan sederhana (IKS), Kementerian saya akan terus memainkan peranan untuk membantu dalam aspek pemasaran dan e-Dagang…
“Para usahawan dialu-alukan untuk sentiasa berhubung dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian terutama DIDR yang memainkan peranan utama dalam pembangunan usahawan IKS,” katanya dalam ucapan beliau.
Katanya lagi satu langkah yang positif ke arah tersebut turut dilaksanakan dengan penubuhan Persatuan Usahawan Wanita IKS Kota Belud yang mendapat sambutan menggalakkan.
Dalam pada itu, Joachim berharap semua penerima bantuan akan terus berusaha untuk memajukan perniagaan masing-masing, dengan menggunakan dan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan dengan sepenuhnya.
Turut hadir dalam majlis penyerahan itu adalah Pegawai Daerah Kota Belud, Hjh. Diyanah Abdullah; Pengarah DIDR Tseu Kei Yue; dan Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin.