Maritim Malaysia Patahkan Cubaan Seludup 400 Gram Syabu Di Kudat

Maritim Malaysia Patahkan Cubaan Seludup 400 Gram Syabu Di Kudat

0
SHARE
Apmm
Pegawai Maritim Malaysia Zon Kudat bergambar bersama rampasan dadah ( Sumber Foto: Ihsan APMM )

KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat berjaya merampas sembilan paket dadah jenis syabu yang cuba dibawa masuk di kawasan perairan Kudat awal pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat risikan yang diterima, bot ronda Zon Maritim Kudat pada ketika itu sedang melaksanakan rondaan Op Khas Pagar Laut 1/2024 di sekitar perairan Kudat segera diatur gerak ke lokasi sekitar pukul 4.30 pagi.

“Setibanya di lokasi iaitu di Pulau Bankawan, Banggi, sebuah bot telah dikesan sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan.

“Semasa cuba menghampiri bot terbabit, tiba-tiba bot berkenaan memecut laju menuju kawasan cetek hutan paya bakau berhampiran.

“Sekitar 4.50 pagi, sebuah bot jenis pam berwarna biru tanpa nombor pendaftaran berjaya ditemui tanpa penumpang dipercayai bot suspek yang ditinggalkan dan suspek dipercayai nekad terjun ke laut melarikan diri di kawasan hutan bakau,” jelasnya dalam sebuah kenyataan.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit menemukan sembilan paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu dianggarkan lebih kurang 400 gram dipercayai cuba di bawa masuk ke kawasan daratan.

Maurice berkata bot serta barang rampasan seterusnya dibawa masuk ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM50,000,” tambahnya.