Program MySaveFood Ramadan 2024 Kumpul 99.48 Kg Lebihan Makanan Bazar Ramadan Keningau

Program MySaveFood Ramadan 2024 Kumpul 99.48 Kg Lebihan Makanan Bazar Ramadan Keningau

0
SHARE
Kpdn
Georgie (tengah) bergambar bersama peserta dan sukarelawan program ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KENINGAU, SABAH – Sebanyak 99.48 kg lebihan makanan dan minuman bazar Ramadan pelbagai jenis berjaya dikumpulkan oleh sukarelawan Gerakan Pengguna Siswa Geomatika College Keningau (GCK) pada hari pertama program Malaysia Save Food Ramadan 2024 diadakan semalam.

Program tersebut merupakan usaha sama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Sabah, Gerakan Pengguna Siswa dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia.

Ianya bertujuan untuk memupuk dan membudayakan sistem pengurusan lebihan makanan yang lebih berkesan dalam usaha mengurangkan pembaziran lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Lebihan makanan dan minuman yang berjaya dikumpul oleh sukarelawan ini telah diagihkan ke Pusat Tahfiz Anak-anak yatim Ar Rahmah Keningau dan pelajar-pelajar asrama GCK.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, hari pertama program menyaksikan 100 orang penerima manfaat.

“Usaha seperti ini diharapkan dapat disebar luas ke daerah lain dalam mengurangkan lebihan makanan dan sisa khususnya di negeri Sabah.

“KPDN Sabah turut meminjau pelaksanaan kaedah e-wallet di kalangan peniaga bazar ramadan Keningau dan mendapati 98 peratus peniaga telah mengadaptasi kaedah pembayaran tanpa tunai atau e-wallet,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Turut hadir pada sesi lawatan pelaksanaan program dan tinjauan bazar ramadan adalah Timbalan Presiden II GCK, Creastysia Cyrnus, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar GCK, Nur Asnie Jubilin, Ketua Cawangan KPDN Daerah Keningau, Awang Azri Biahi dan Penasihat GPS GCK, Lazio Jiun.