​’Jangan Ada Si Kitol, Parti Dalam Parti’ – Dr Zaliha ​

​’Jangan Ada Si Kitol, Parti Dalam Parti’ – Dr Zaliha ​

0
SHARE

AYER KEROH: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diperingatkan supaya tidak membiarkan wujudnya ‘parti dalam parti’ mahupun andaian unsur ‘Si Kitol’ yang berpotensi merosakkan keharmonian organisasi berkenaan.

​Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan, teguran dan perbezaan pandangan dalam parti adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memecahbelahkan perjuangan.

​Menurut beliau, kesetiaan ahli wajar ditumpukan sepenuhnya kepada idealisme perjuangan dan parti, bukannya taksub kepada sosok tubuh mana-mana kepimpinan semata-mata.

​”Kita sayang Presiden, kita pertahankan beliau jika difitnah dan mahukan kerajaan pimpinan beliau berjaya.

“Namun jika benar-benar sayangkan parti, kita kena berani berkongsi pandangan dan menegur dengan adab serta fakta.

​”Presiden sendiri tidak mahu dikelilingi mereka yang hanya pandai menyebut ‘YES’ sahaja. Namun ingat, jangan sesekali biarkan perbezaan pandangan itu merosakkan organisasi. Jangan ada ‘parti dalam parti’ dan kita tak mahu ada ‘Si Kitol’ dalam PKR,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Ahad.

​Mengulas isu idealisme perjuangan, Dr Zaliha menjelaskan slogan reformasi yang dilaungkan sejak 27 tahun lalu bukan sekadar tiket untuk melangkah ke Putrajaya, sebaliknya ia adalah amanah besar yang perlu dilaksanakan melalui pentadbiran kerajaan.

​”Hari ini apabila jadi kerajaan, kita bertanggungjawab menterjemahkan reformasi melalui pengukuhan institusi, membanteras rasuah dan memastikan keadilan sampai kepada rakyat.

“Menjadi kerajaan bukannya penamat reformasi, tetapi ujian sebenar kepada perjuangan kita,” tegas beliau.

​Dalam pada itu, beliau turut menggesa jentera parti supaya tidak bertindak elit dan segera mengukuhkan akar umbi tanpa perlu menunggu pilihan raya tiba.

“Jangan tunggu PRU atau calon diumumkan baru nak turun lapangan. Kita kena hadir dalam kehidupan rakyat lebih awal, masuk kampung, Felda, flat, estet dan dengar suara rakyat termasuk mereka yang marah kepada kita,” katanya.