AYER KEROH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) digesa untuk tidak bersikap selesa sebaliknya menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebagai iktibar utama dalam merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua AMK, Kamil Munim menegaskan, kejayaan mentadbir kerajaan Madani berasaskan indikator makroekonomi tidak bererti sekiranya parti gagal memahami serta mententeramkan keresahan sebenar di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, data pertumbuhan ekonomi suku kedua yang mencapai 6.0 peratus, mengatasi unjuran awal Bank Negara Malaysia, serta peningkatan pelaburan adalah pencapaian membanggakan, namun penilaian rakyat terhadap kerajaan gabungan akhirnya diukur di peti undi.
”Kita perlu membezakan antara keupayaan untuk mentadbir dan keupayaan untuk memimpin.
“Pentadbiran kita hari ini sangat baik dan diakui dunia, tetapi jika keresahan serta ketakutan masyarakat yang dimainkan melalui propaganda politis tidak ditangani dengan hikmah, sokongan boleh terjejas.
”Keresahan rakyat itu real. Tugas kita adalah hadir memberikan keyakinan dan penyelesaian, bukannya mengetepikan pandangan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Kamil menekankan kepentingan menyasarkan kelompok pemilih berusia 45 tahun ke bawah yang kini membentuk segmen pengundi terbesar di dalam negara.
Jelas beliau, pemansuhan kekangan terhadap mahasiswa dan penambahbaikan kebebasan akademik (AUKU) yang diumumkan Presiden parti merupakan manifestasi reformasi berterusan yang menuntut kesabaran serta konsistensi.
“Reformasi ini bukan kerja gopoh. Langkah yang diumumkan Presiden adalah kemenangan moral buat anak muda yang sekian lama berjuang menuntut kebebasan universiti.
”AMK bersedia mengemudi amanah ini bagi memastikan jentera akar umbi bersiap sedia, seterusnya mempertahankan kemenangan parti sekali gus memastikan Presiden kekal memimpin negara bagi penggal kedua,” katanya.






