Fadhlina bidas ada pihak mula ‘ukur langsir Putrajaya’

Fadhlina bidas ada pihak mula ‘ukur langsir Putrajaya’

0
SHARE

AYER KEROH: Pihak yang berhasrat atau sibuk menyusun percaturan politik untuk mengambil alih pentadbiran negara diingatkan supaya tidak terburu-buru kerana perjuangan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum selesai.

​Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek berkata, kepimpinan dan seluruh jentera parti tidak akan berundur mahupun berganjak daripada mempertahankan mandat rakyat yang disandang ketika ini.

​”Kalau hari ini ada pihak yang sudah mula berkira-kira bila nak ambil tempat kita, pesan kepada mereka… sabar dulu. Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya.

​”Kerja kita belum selesai, perjuangan kita belum selesai dan kita belum selesai memimpin negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini, pada Ahad.

Mengulas mengenai senario politik semasa, Fadhlina turut menyampaikan sindiran menerusi bait pantun berkenaan ancaman dan percaturan politik yang cuba menggoyahkan kestabilan kerajaan.

“Terbang kunang di tengah malam, hinggap masuk di Tiang Seri; tangan kanan diajak bersalam, apa maksud pisau di tangan kiri.

“Apa pun percaturan di luar sana kita hadap, apa pun ranjau yang dipasang kita redah… Putrajaya kita pertahankan,” tegas beliau yang disambut sorakan gemuruh para perwakilan.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menggesa agar kepimpinan parti terus memberi ruang dan kepercayaan yang lebih besar kepada golongan wanita sebagai pembuat keputusan, bukan sekadar memanfaatkan mereka ketika kempen pilihan raya.

Beliau turut menyeru jentera parti untuk menterjemahkan pencapaian Kerajaan MADANI dalam bahasa yang mudah difahami rakyat, antaranya pembaikan lebih 800 sekolah daif, naik taraf kemudahan tandas sekolah, peningkatan elaun latihan amali serta pengekalan elaun mahasiswa.