KIMANIS: Ketua PKR Kimanis, Niki Ramday, menggesa ahli parti serta pengundi di Bongawan dan Membakut supaya tidak memberikan walau satu undi pun kepada Warisan dalam PRN esok, sambil menegaskan bahawa retorik parti itu semakin keterlaluan dan hanya mengundang perpecahan di Sabah.
Beliau membidas naratif kempen Warisan yang menuduh Kerajaan Persekutuan mengabaikan Sabah, sedangkan dakwaan itu bercanggah sepenuhnya dengan rekod Warisan sendiri yang pernah berada dalam kerajaan pusat dan menerajui pentadbiran negeri selama bertahun-tahun.
“Kerajaan Perpaduan baru tiga tahun mentadbir, namun sudah menyalurkan pelbagai inisiatif terus kepada rakyat Sabah seperti STR, Jualan Rahmah dan pelbagai sokongan pembangunan,” katanya.
Menurutnya, peruntukan pembangunan RM600 juta kepada Sabah tahun ini jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan semasa, sesuatu yang tidak pernah disempurnakan oleh pentadbiran sebelumnya.
Memandangkan PKR dan Pakatan Harapan tidak bertanding di dua DUN dalam Parlimen Kimanis, beliau menyeru ahli parti menolak sepenuhnya mesej Warisan yang disifatkan sebagai merosakkan dan mengundang ketidakstabilan.
Beliau menegaskan PKR Kimanis akan terus memastikan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai isu pembangunan dan dasar kerajaan, bukan propaganda sempit yang dimainkan pihak tertentu.
“Saya menggesa rakyat Sabah memilih kerajaan yang menjamin kestabilan jangka panjang, kemakmuran sebenar dan masa depan yang selari dengan agenda Kerajaan Perpaduan,” katanya.






