
TUARAN, SABAH – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) digalakkan menghasilkan lebih banyak projek memfokuskan pemerkasaan wanita luar bandar terutama dalam bidang pelancongan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, projek atau kursus pembinaan kemahiran bagi memperhebatkan peranan wanita perlu untuk membantu ekonomi dan mensejahterakan masyarakat pedalaman.
“Pada zaman ini, terdapat sentimen sejagat tentang kesaksamaan jantina dan pemerkasaan, terutamanya di tempat kerja. Dalam sesetengah budaya, termasuk budaya kita, wanita memegang status ‘matriarchy’.
“Ini bermaksud, kaum wanita atau ibu diletakkan sebagai ketua keluarga. Penglibatan wanita dalam memimpin dapat dilihat jelas dalam komuniti apabila golongan wanita aktif mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi masyarakat,” katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata, ramai wanita yang menjadi usahawan kraf dan meneroka peluang perniagaan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Di peringkat pelancongan, tambah beliau, pihak Kementerian dan Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa bersedia untuk memperkenalkan dan mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan oleh golongan wanita luar bandar.
Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata demikian pada majlis perasmian penutup program ‘I have A Dream’ di Kampung Mantob, di sini, pada Jumaat.
Program anjuran bersama Borneo Ecotourism Solutions & Technologies (BEST) Society itu memfokuskan kepada pemerkasaan wanita muda dan program kerjasama dengan Hotel Hilton Kota Kinabalu untuk wanita yang mengendalikan perniagaan homestay.
Ia dianjurkan dengan kerjasama Borneo Eco Tours, MUKEST dan Mind Vistas.
“Kita gembira melihat terdapat NGO yang komited dalam menyokong pemerkasaan wanita, terutamanya di kalangan masyarakat luar bandar. Kita dapat melihat banyak kemajuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dalam hal demikian, terdapat banyak projek pembangunan masyarakat yang boleh dilakukan untuk membantu mendidik dan mengajar wanita luar bandar dengan kemahiran yang mereka mungkin tidak mempunyai akses. Program ‘I Have A Dream’ adalah salah satu daripadanya.
“Semoga ini akan menggalakkan lebih banyak NGO untuk menghasilkan lebih banyak projek untuk membantu masyarakat luar bandar yang lain membina kemahiran mereka sendiri,” kata Joniston.