PM Muhyiddin Dijangka Buat Pemakluman Penting Pada Isnin (16 Ogos) Ini

PM Muhyiddin Dijangka Buat Pemakluman Penting Pada Isnin (16 Ogos) Ini

0
SHARE
Tan Sri Muhyiddin Yassin...

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pemakluman penting berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada Isnin (16 Ogos) ini.

Memetik sumber BH Online, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pegawai kanan kepada dua menteri malam tadi.

“Makluman oleh Perdana Menteri itu dijangka dibuat pada tengah hari, sebaik beliau selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” kata pegawai kanan terbabit.

Katanya, pagi Isnin, Muhyiddin dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang serta pegawai kanan kerajaan.

“Ya, dijangka Isnin ada pengumuman. Mungkin tengah hari,” katanya ketika dihubungi.

Selesai pertemuan itu, Muhyiddin seterusnya dijangka mengadakan mesyuarat ringkas bersama anggota Kabinetnya.

Difahamkan pada pagi semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN), UMNO serta beberapa menteri bagi memaklumkan mengenai hasrat dan rancangannya selepas ini.

Di sebelah petang tadi, beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dijangka satu mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi (MT) partinya, esok.

Terdahulu pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas yang disiarkan secara langsung pada petang 13 Ogos 2021 (Jumaat)…

Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik COVID-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti Ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) serta Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.

Sementara itu, jurucakap Istana Negara yang dihubungi memberitahu belum dapat mengesahkan berkenaan sebarang majlis mengadap oleh Perdana Menteri bersama Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, mesyuarat BERSATU pada hari ini juga dijangka boleh mempengaruhi pendirian yang sudah dibuat Perdana Menteri malam tadi dan keputusan pada Isnin.