Subsidi Diesel Bersasar Akan Diperluas ke Sabah, Sarawak – Armizan

Subsidi Diesel Bersasar Akan Diperluas ke Sabah, Sarawak – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menolak dakwaan tidak adil dalam mengekalkan subsidi diesel pukal di Sabah, Sarawak dan Labuan, sebaliknya menegaskan pelaksanaan subsidi bersasar tetap akan dilaksanakan secara berperingkat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah menolak rasionalisasi subsidi diesel di ketiga-tiga wilayah itu, namun pelaksanaannya memerlukan pendekatan berfasa kerana melibatkan skala dan mekanisme yang kompleks.

Kerajaan tidak pernah berpendirian bahawa subsidi diesel bersasar tidak akan dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, dasar reformasi subsidi negara kekal berteraskan penyaluran bersasar bagi mengurangkan ketirisan seperti penyeludupan dan penyalahgunaan.

Armizan berkata, pelaksanaan di Semenanjung Malaysia sejak 2024 bagi diesel dan 2025 bagi RON95 berjalan lancar, manakala kerangka pelaksanaan di Sabah, Sarawak dan Labuan kini sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan.

“Subsidi diesel akan diteruskan, tetapi secara lebih bersasar bagi memastikan kecekapan dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau menambah mekanisme sedia ada seperti BUDI Madani, SKDS dan SKPS akan dijadikan rujukan, dengan mengambil kira keperluan unik di Sabah dan Sarawak.

Armizan turut menjelaskan bahawa subsidi diesel di Semenanjung masih diteruskan secara bersasar, termasuk untuk sektor pengangkutan dan pengedaran barangan.

Katanya, pelaksanaan di Sabah dan Sarawak mengambil masa berikutan kebergantungan tinggi kepada diesel, faktor geografi serta kos logistik yang lebih tinggi, termasuk pengangkutan laut yang boleh melebihi kos laluan perdagangan serantau.

“Semua faktor ini perlu dipertimbangkan supaya pelaksanaan dasar tidak membebankan rakyat,” katanya.