SEMPORNA, SABAH – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyantuni lebih 100 orang penduduk Kampung Terusan Tengah dalam Program Jiwa Madani di Pulau Bum Bum.
Ketibaan Fahmi di program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama Komuniti Madani Sabah tersebut disambut dengan persembahan tarian tradisi Igal-igal oleh penduduk kampung.
Program Jiwa Madani bertujuan memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat selain menjadi satu kaedah menghebahkan maklumat, dasar serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat setempat.
Bagi negeri Sabah, sebanyak 77 program Jiwa Madani telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 6,440 orang ahli Komuniti Madani secara keseluruhannya.
Sebanyak 219 Komuniti Madani telah ditubuhkan di negeri ini melibatkan 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disertai masyarakat pelbagai etnik dan agama.
Fahmi dalam rangka lawatan kerja Jelajah Ketersambungan di Negeri Sabah turut meluangkan masa menghadiri program Sembang Santai Bersama Komuniti Madani bagi mendapatkan maklum balas penduduk sebagai usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor. — JABATAN PENERANGAN SABAH