Befrienders KK Galak Masyarakat Bantu Individu Alami Tekanan Emosi

Befrienders KK Galak Masyarakat Bantu Individu Alami Tekanan Emosi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dalam usaha menangani isu bunuh diri yang semakin membimbangkan di Sabah, termasuk kes terbaru di Tawau, Befrienders Kota Kinabalu mengajak masyarakat menjadi rakan sokongan kepada individu yang mengalami tekanan mental.

Pengerusi Befrienders KK, Jessie Ting berkata, kematian akibat bunuh diri bukanlah kegagalan moral, sebaliknya sering berpunca daripada masalah kesihatan mental yang tidak dirawat, tekanan hidup yang berat, atau kesakitan emosi yang tidak tertanggung.

“Mereka yang cuba bunuh diri biasanya bukan mahu mati, tetapi mahu mengakhiri kesakitan dalaman yang mereka alami.

“Sokongan emosi daripada rakan atau keluarga boleh menjadi penyelamat nyawa,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Befrienders menyeru orang awam untuk menyertai latihan pencegahan bunuh diri yang akan berlangsung pada hujung minggu ini, 11 dan 12 Mei, bagi mempelajari cara mengenal pasti tanda amaran serta memberi sokongan yang bermakna.

Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian termasuk keinginan untuk mati, pengasingan diri, perubahan emosi mendadak, memberi barang peribadi, dan perlakuan menyakiti diri.

Menurut Ting, walaupun tidak semua orang mahir memberi respon kepada individu dalam krisis, latihan ini mampu membina keupayaan masyarakat untuk menjadi pendengar yang empati dan penghubung kepada bantuan profesional.

Befrienders juga mengajak individu yang berbelas kasihan untuk menyertai pasukan sukarelawan mereka, walaupun sekadar untuk membina kemahiran sokongan emosi demi manfaat keluarga dan komuniti.

“Setiap nyawa sangat bernilai. Kita semua memainkan peranan penting untuk mengenal pasti dan membantu mereka yang berisiko,” tambah Ting.

Beliau turut mengingatkan media dan pengguna media sosial supaya mengelakkan laporan sensasi yang boleh mencetuskan ‘Werther Effect’ (insiden tiruan), sebaliknya melaporkan secara beretika dan menyertakan maklumat bantuan.

Orang ramai yang memerlukan sokongan boleh menghubungi talian Befrienders KK di 016-8036945 atau 088-255788, atau melalui Facebook rasmi mereka.