Bekas Ahli MAIDAM dan Isteri Mengaku Bersalah Terima Suapan Agihan Zakat

Bekas Ahli MAIDAM dan Isteri Mengaku Bersalah Terima Suapan Agihan Zakat

0
SHARE

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas ahli jawatankuasa zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berhubung agihan zakat MAIDAM lima tahun lalu.

Harian Metro melaporkan, tertuduh, Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, yang juga ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Mohd Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Mohamad Zahari mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zahari didakwa menerima wang tunai berjumlah RM 5,500 daripada Lydia Irmawati Mahmud di pejabat MAIDAM di sini pada 15 Julai 2020 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 ASPRM 2009.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 26 SPRM 2009.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009 kerana menggunakan jawatannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan melantik syarikat Amcare Agency sebagai Agen Kutipan Zakat MAIDAM pada Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAIDAM Kali Ke-4 Tahun 2019 yang mana syarikat tersebut adalah milik isterinya, Lydia Irmawati Mahmud.

Sementara itu, Lydia Irmawati, 41, yang juga pemilik syarikat didenda RM16,000 di mahkamah sama atas empat pertuduhan pilihan kerana menipu penolong akauntan bahagian pengurusan zakat MAIDAM .

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dikenakan hukuman denda RM4,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan satu hingga empat, tertuduh didakwa menipu penolong akauntan bahagian pengurusan zakat MAIDAM sehingga mendorongnya membuat bayaran sebanyak RM6,231.02 kepada syarikat berkenaan.

Lydia Irmawati didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Pengurusan Zakat, MAIDAM di sini antara Disember 2020 hingga Disember 2021.

Lydia Irmawati sebelum ini berdepan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 420 KK kerana menipu ke atas tuntutan bayaran balik wang zakat (Wakalah) dan komisyen terhadap pihak MAIDAM yang mana penipuan tersebut mendorong pihak MAIDAM untuk membuat bayaran kepada syarikat tersebut berjumlah keseluruhan RM19,000 daripada wang zakat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.