IPOH: Mayat seorang bayi ditemukan reput dipercayai ditanam dalam simen di kawasan tempat letak kereta sebuah rumah di Taman Sri Rokam pagi tadi.
Difahamkan, penemuan mayat pada kira-kira jam 11 pagi itu berikutan kerja-kerja baik pulih rumah oleh seorang lelaki yang berusia 37 tahun.
Mengikut laporan awal, mayat bayi yang belum diketahui jantina itu ditemukan dalam keadaan dibaluti kain sarung oleh lelaki yang hendak menyewa rumah berkenaan.
Turut difahamkan lelaki berkenaan mengorek tanah untuk meletakkan bancuhan simen semula lantai di tempat letak kereta, sebelum terjumpa cebisan kain sarung.
Dia dikatakan menarik kain berkenaan dan menemui mayat bayi di sebalik kain itu, sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat, pada jam 12 tengah hari.
Sementara itu, usaha untuk pengesahan dan maklumat lanjut mengenai penemuan mayat itu sedang diperoleh daripada polis.