Lelaki Pakistan Maut Direnjat Elektrik Lepas Pegang Besi Khemah di Tapak Karnival...

Lelaki Pakistan Maut Direnjat Elektrik Lepas Pegang Besi Khemah di Tapak Karnival Makanan

0
SHARE

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki warga Pakistan dilaporkan maut selepas dipercayai memegang besi khemah salah sebuah gerai di tapak karnival makanan berhampiran pasar raya, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.50 malam.

“Sebaik anggota polis tiba di lokasi, didapati mangsa berusia 32 tahun terbaring di atas pentas utama.

“Kejadian berlaku apabila mangsa memegang besi khemah di salah sebuah gerai. Akibatnya mangsa terkena renjatan elektrik sebelum tidak sedarkan diri. 

“Mangsa kemudian dibawa ke pentas berhampiran untuk diberikan bantuan awal,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Ambia berkata, orang awam yang disoal siasat memaklumkan kejadian berlaku ketika hujan lebat, selain terdapat peniaga dan pengunjung berada di kawasan sama.

Menurutnya, karnival itu yang berlangsung selama dua minggu bermula 16 Ogos lalu mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

“Mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat. Punca kematian adalah disebabkan renjatan elektrik,” jelasnya.