Sambutan Hari Sabah Berjalan Lancar – Jeffrey

Sambutan Hari Sabah Berjalan Lancar – Jeffrey

0
SHARE
Jeffrey
Tun Juhar (tengah) bergambar kenangan bersama rombongan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persiapan Sambutan Hari Sabah 2024 berjalan lancar, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, sambutan yang julung kali diadakan itu bukan sahaja menjanjikan suatu perayaan yang meriah tetapi perlu memberikan makna dan inspirasi kepada penduduk di Sabah.

“Pertama kalinya Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin akan merasmikan sambutan Hari Sabah pada tahun ini.

“Pada hari tersebut, kita juga akan mengadakan konsert dan beberapa program lain seperti kereta berhias.

“Selain itu, kita juga akan menerima bendera-bendera daripada pelari-pelari di seluruh Sabah yang mana salah satu daripadanya akan saya serahkan kepada Tun Juhar.

“Persiapan setakat ini berjalan lancar dan kita harapkan cuaca pada hari sambutan adalah baik kerana kita meraikannya di kawasan yang terbuka,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Menurut Jeffery yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2024, terdapat juga aktiviti -aktiviti menarik lain yang diadakan sempena sambutan berkenaan bermula sejak 24 Ogos lalu antaranya konsert, tamu-tamu, ceramah, pameran sejarah dan juga pertandingan puisi.

“Hari Sabah 2024 bukan hanya sekadar perayaan, tetapi juga satu manifestasi semangat perpaduan, kebanggaan negeri serta kemajuan bersama.

“Melalui persiapan yang rapi ini, Sabah kini bersedia untuk menyambut Hari Sabah dengan penuh gemilang dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua yang terlibat pada hari tersebut,” tambahnya.

Sambutan Hari Sabah 2024 akan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu Sabtu ini, mulai jam 6.00 petang.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Peto Galim, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Leonard Stephen Poyong, Timbalan SUT (Tanaman dan Infrastruktur) MAFFI, Awang Zulkarnain Awang Hasan dan Timbalan SUT (Pertanian dan Ternakan) MAFFI, Maria David Edick. — JABATAN PENERANGAN SABAH