Lelaki Ditahan Selepas Merempuh Kenderaan Warga Emas Tiga Kali di Johor Bahru

Lelaki Ditahan Selepas Merempuh Kenderaan Warga Emas Tiga Kali di Johor Bahru

0
SHARE

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditahan pihak polis selepas terbabit dalam satu kejadian di mana sebuah kenderaan dilanggar sebanyak tiga kali dalam insiden yang berlaku pada petang Ahad di Jalan Tun Razak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat memaklumkan, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas seorang pemandu warga emas memperlahankan kenderaannya, dipercayai kerana terlepas simpang.

Pemandu sebuah Toyota Hilux yang berada di belakang kemudiannya bertindak memotong secara kasar dan memberhentikan kenderaannya di hadapan Perodua Axia dipandu mangsa, sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Suspek kemudiannya didapati melanggar kenderaan mangsa sebanyak tiga kali, mengakibatkan kerosakan dianggarkan berjumlah RM15,300,” kata Raub dalam kenyataan media.

Kejadian itu turut dirakam dalam satu video yang tular di media sosial, memperlihatkan pacuan empat roda tersebut mengundur dan merempuh kenderaan mangsa beberapa kali sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Raub turut mengesahkan bahawa suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah, namun tiada sebarang waran tangkap aktif pada masa ini. Ujian air kencing ke atas suspek menunjukkan keputusan negatif terhadap penggunaan dadah.

Suspek kini dalam proses permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.