Rumah Terbuka Aidilfitri: Bukan Membazir, Tapi Menyatukan – Arifin

Rumah Terbuka Aidilfitri: Bukan Membazir, Tapi Menyatukan – Arifin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri yang berlangsung pagi tadi bukan satu pembaziran, sebaliknya platform menyatukan rakyat dan memberi peluang kepada golongan memerlukan, kata Pengerusi Penganjur, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau menegaskan pembaziran bermaksud berlebihan, yang ditolak semua agama, dan konsep kesederhanaan perlu diamalkan.

“Pembaziran adalah berlebihan. Kita diajar makan dan minum, tetapi tidak melampau,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.

Menurutnya, program itu membuka ruang kepada anak yatim, golongan kurang berkemampuan serta masyarakat luar bandar untuk sama-sama menikmati sambutan Aidilfitri.

“Apa yang kita lakukan hari ini adalah memberi peluang kepada mereka untuk meraikan Aidilfitri bersama. Ini juga platform perpaduan,” katanya.

Lebih 20,000 pengunjung hadir, melebihi jangkaan, dengan penyertaan 71 usahawan termasuk 15 hotel yang menyumbang makanan dan perkhidmatan.

Arifin berkata sambutan positif membuktikan inisiatif itu berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira agama, kaum atau fahaman politik, selain menyokong usahawan tempatan.