Filipina Tegaskan Tuntutan Ke Atas Sabah, Peta Baharu Akan Dikemuka

Filipina Tegaskan Tuntutan Ke Atas Sabah, Peta Baharu Akan Dikemuka

0
SHARE

MANILA: Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) menegaskan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012 yang memaparkan wilayah berkenaan.

Jurucakap hal ehwal maritim DFA, Rogelio Villanueva, berkata penggubalan Akta Zon Maritim Filipina 2024 (Republic Act 12064) tidak memansuhkan Seksyen 2 Republic Act 5446 yang mentakrifkan garis dasar wilayah Filipina dan tidak menjejaskan tuntutan sedia ada ke atas sebahagian Borneo Utara.

“Filipina tidak pernah menarik balik tuntutan yang sah dan sedia ada ke atas sebahagian North Borneo,” katanya memetik Philippine News Agency pada taklimat media di Pasay City Jumaat lalu.

Beliau menjelaskan peta 2012 yang dikeluarkan oleh National Mapping and Resource Information Authority (NAMRIA) hanya memberikan gambaran geografi North Borneo berhubung kepulauan utama Filipina.

Mengenai Laut Filipina Barat, Villanueva berkata DFA akan bekerjasama dengan NAMRIA untuk mengeluarkan peta baharu yang menggabungkan Keputusan Timbang Tara 2016 dan Akta Zon Maritim 2024.

Katanya, penyerahan peta kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanyalah keperluan pentadbiran dan tidak menentukan hak kedaulatan Filipina.

“Hak Filipina terhadap kedaulatan, hak berdaulat dan kelayakan maritim adalah berasaskan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Undang-Undang Laut PBB serta diperjelaskan melalui Keputusan Timbang Tara 2016,” katanya.

Beliau menambah DFA akan terus mempertahankan kedaulatan dan hak Filipina melalui diplomasi yang berkesan dan berprinsip.