Ronald Kiandee Digugur Dari Majlis Tertinggi PN

Ronald Kiandee Digugur Dari Majlis Tertinggi PN

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, digugurkan dari Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) beberapa jam sebelum beliau dijadual menghadiri mesyuarat di ibu pejabat PAS, hari ini.

Surat bertarikh 20 Februari yang ditandatangani Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, memaklumkan tempat Ronald digantikan oleh dua lagi Naib Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin.

Ahli Parlimen Beluran itu bagaimanapun kekal sebagai Naib Presiden Bersatu.

Beliau mengesahkan perkara berkenaan dan berkata beliau menerima surat tersebut pada tengah hari Ahad.

“Tidak apa-lah. Mereka boleh buat apa sahaja-lah,” katanya ringkas menerusi mesej teks kepada The Star.

Menurutnya, beliau dimaklumkan lebih awal oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebelum menerima surat berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

Pengguguran itu dilihat sebagai perkembangan terbaharu membabitkan pemimpin yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dipecat daripada parti pada 13 Februari atas dakwaan mensabotaj parti dan cuba menyingkirkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ronald yang juga Ketua Bersatu Sabah sebelum ini lantang menyokong Hamzah serta menggerakkan inisiatif dikenali sebagai “reset” susulan pemecatan tersebut.

Majlis Tertinggi PN bermesyuarat hari ini bagi melantik pengganti Muhyiddin yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN pada 31 Disember lalu susulan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis.