PAITAN: Tindakan pantas Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Paitan berjaya membantu sembilan pelajar yang terjejas banjir untuk meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, Kota Marudu, pagi tadi.
Kesemua pelajar terbabit merupakan calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 yang berdepan kesukaran keluar dari kawasan kediaman masing-masing susulan paras air banjir yang meningkat dan menenggelami laluan utama.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Paitan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung situasi tersebut dan segera menggerakkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi melaksanakan operasi pemindahan secara selamat dan terkawal.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan pelajar terjamin serta mereka dapat hadir ke sekolah tanpa sebarang risiko. Anggota bertugas menggunakan kenderaan jabatan untuk memindahkan pelajar keluar dari kawasan terjejas banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi berjalan lancar hasil kerjasama anggota yang sentiasa mematuhi prosedur keselamatan selain mengambil kira kebajikan pelajar sepanjang proses pemindahan.
Tambahnya, bantuan berkenaan memberi impak besar kepada pelajar terlibat kerana memastikan mereka tidak tercicir daripada sesi pembelajaran serta persediaan menghadapi peperiksaan penting.
“Dalam situasi bencana, kesinambungan pendidikan tetap menjadi keutamaan. Kami komited membantu masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pantas itu turut memberi ketenangan kepada ibu bapa yang bimbang akan keselamatan anak-anak mereka dalam keadaan cuaca tidak menentu.
Usaha berkenaan sekali lagi membuktikan peranan penting agensi penyelamat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya ketika berdepan cabaran bencana alam.
PDPA Paitan berharap kesiapsiagaan pasukan penyelamat akan terus diperkukuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan, sekali gus menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.






