KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Konsulat India di Sabah masih di peringkat pertimbangan dan belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan dalam Kabinet susulan permintaan daripada Perdana Menteri India semasa lawatan rasmi sebelum ini.
“Sebenarnya perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet. Apa yang berlaku adalah permintaan daripada Perdana Menteri India. Respon kita sebagai menghormati permintaan tersebut ialah untuk mempertimbangkannya. Itu sahaja, belum ada keputusan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ukhuwah Madani (Parlimen Sepanggar) di Masjid Al Muhajirin, Kampung Warisan, hari ini.
Beliau berkata, sebarang keputusan akan diteliti bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Luar Negeri, berdasarkan keperluan semasa.
“Jika ada keperluan di negeri ini, contohnya peningkatan pelancong dari India ke Sabah, mungkin ada keperluan untuk memfasilitasi urusan mereka. Tetapi perkara ini masih dalam pertimbangan,” jelasnya.
Mengulas reaksi pelbagai pihak termasuk isu cadangan konsulat Filipina serta tuntutan lama terhadap Sabah, Mustapha menegaskan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan negara.
“Kita sebagai rakyat Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara kita. Sabah dan Sarawak telah bersetuju membentuk Malaysia. Ini negara kita dan kita akan jaga. Apa-apa isu tuntutan akan ditangani secara bijaksana melalui kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar memaklumkan kerajaan memantau secara dekat situasi banjir yang melanda beberapa daerah termasuk Kota Marudu dan Tawau.
Beliau berkata, semua agensi berkaitan termasuk NADMA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digerakkan bagi memastikan keperluan dan kebajikan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sentiasa terjaga.
“Saya sendiri telah melawat PPS SMK Tandek 2 di Kota Marudu untuk melihat kaedah pengurusan mangsa banjir. Kita akan mempercepatkan gerakan agensi-agensi berkaitan ke lokasi terjejas serta memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang berdaftar di PPS,” katanya.
Menurutnya, isu banjir yang semakin kerap berlaku berkait rapat dengan perubahan cuaca dan pemanasan global, justeru kerajaan akan meneliti pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan kritikal serta memperkukuh sistem amaran awal melalui maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
“Kita mahu amaran awal dipertingkatkan supaya penduduk kampung lebih bersedia menghadapi banjir,” tambahnya.
Terdahulu, Mustapha merasmikan Program Bubur Lambuk 10,000 pek di bawah inisiatif Ukhuwah Madani, dengan 3,000 pek diagihkan kepada penduduk sekitar Kampung Warisan hasil kerjasama Pejabat Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Escort Academy.






