Rasuah Punca Segala Jenayah – Penganalisis Politik

Rasuah Punca Segala Jenayah – Penganalisis Politik

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan..

GEORGETOWN – RASUAH PUNCA SEGALA JENAYAH, selagi ada pihak yang sanggup memberi dan ada pula yang sanggup menerimanya tanpa memikirkan kesan pada masa depan, amalan rasuah akan terus berleluasa.

Amalan rasuah menyebabkan manusia hilang pertimbangan sekali gus terjerumus ke kancah kegiatan yang tidak sihat.

Penganalisis politik, Azizi Safar yang dipetik Sinar Harian berkata, disebabkan ada pihak tertentu yang sanggup menerima rasuah, akhirnya keselamatan dan pertahanan negara boleh tergugat selain sempadan negara turut dikompromi.

“Amalan rasuah di negara ini dilihat semakin parah, malah ada yang tidak segan silu untuk melakukannya walaupun tahu ia satu perbuatan tidak bermaruah…

“Dengan adanya pihak yang sanggup menerima rasuah, keselamatan negara juga telah dikompromi dan diceroboh oleh pihak yang gemar mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi pada semalam.

Menurutnya, perbuatan rasuah atau korupsi sudah menjadi satu perbuatan jenayah yang diterima sebagai satu norma dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

“Ada orang sudah berfikir, ramai orang melakukannya maka tidak salah jika saya juga melakukannya. Nilai moral dalam kalangan rakyat sudah terpesong apabila ramai yang berfikir seperti itu,” katanya.

Selain itu, katanya, rasuah tidak lagi dianggap sebagai satu jenayah atau dosa sama ada kepada si pemberi atau penerima dan ini sangat merbahaya untuk negara.

Beliau berkata, penerima rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan terutamanya mereka yang terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang, pertahanan dan keselamatan negara boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianat negara.

“Saya berpendapat orang Islam di negara ini mungkin telah termakan daging import yang haram atau status halalnya diragui menyebabkan ada dalam kalangan yang berpangkat sanggup menerima rasuah…

“Mereka ini boleh diumpamakan sebagai pengkhianat negara kerana amanah dan tanggungjawab yang diberikan tidak dipikul dengan baik,” katanya.

Katanya, penerima dan pemberi rasuah perlu dihukum dengan hukuman yang sama untuk mengelakkan pemberi rasuah terus berani memberi suapan.

“Hukuman terhadap kedua-duanya iaitu pemberi dan penerima rasuah perlu sama berat supaya orang yang mahu beri rasuah pun takut dikenakan hukuman (berat), menyebabkan mereka akan berfikir dua kali…

“Saya berharap agar isu rasuah ini diberi perhatian yang lebih oleh kerajaan agar ia dapat dibendung. Selain itu, usaha akhbar Sinar Harian melancarkan kempen Sinar Rasuah Busters perlu disokong oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.