“Saya Mahu Bantu Kampung Saya” – Biasiswa PETRONAS Bawa Jermaine Dekati Impian...

“Saya Mahu Bantu Kampung Saya” – Biasiswa PETRONAS Bawa Jermaine Dekati Impian Jadi Jurutera

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengalaman melihat penduduk Kampung Buayan, Penampang berdepan kekangan bekalan elektrik menjadi antara pencetus impian Jermaine Jeremiah Joseph untuk bergelar jurutera dan suatu hari nanti kembali menyumbang kepakaran bagi meningkatkan kehidupan masyarakat di kampungnya.

Impian anak muda berusia 18 tahun itu kini semakin hampir apabila beliau terpilih sebagai penerima Program Tajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2026 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Jermaine berkata, keadaan bekalan elektrik di Kampung Buayan yang terletak di kawasan pedalaman Penampang meninggalkan kesan mendalam kepadanya sejak pertama kali melawat kampung berkenaan.

Menurutnya, kekangan yang dihadapi penduduk, termasuk kebergantungan kepada penjanaan hidrokuasa, mendorongnya memilih bidang yang membolehkannya menyumbang kepada penyelesaian berkaitan tenaga pada masa hadapan.

“Kalau tiada hujan ataupun saliran sungai tersumbat, kadang-kadang penduduk kampung tiada elektrik.

Dari situ saya lebih terinspirasi kerana saya mahu memberi kembali kepada kampung saya, bagaimana saya boleh membantu meningkatkan kehidupan mereka dan membawa kemajuan kepada kampung,” katanya.

Jermaine berkata, hasrat itu bukan hanya terhad kepada Kampung Buayan, sebaliknya beliau berharap kepakaran yang bakal diperoleh kelak dapat dimanfaatkan oleh masyarakat lain yang memerlukan.

“Bukan kampung saya sahaja, tetapi semua komuniti yang kurang berkemampuan di Sabah dan seluruh Malaysia,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu akan mengikuti program Foundation in Engineering and Science di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) sebelum meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di universiti sama.

Beliau turut bercita-cita menjadi Power Systems Engineer dan berharap dapat membina kerjaya bersama PETRONAS selepas menamatkan pengajian, selain mahu memperoleh kelayakan profesional dalam bidang kejuruteraan.

Bagaimanapun, perjalanan Jermaine mendapatkan tajaan itu bukan tanpa debaran apabila permohonannya pada peringkat awal dimaklumkan tidak berjaya.

“Saya sangat terkejut sebab pada fasa pertama penyenaraian pendek PETRONAS, saya tidak dapat. Tetapi selepas beberapa hari, saya menerima e-mel semula memaklumkan saya disenarai pendek dan diminta mengabaikan e-mel sebelumnya.

“Saya sangat teruja juga sebab saya anak bongsu. Dengan biasiswa ini, saya dapat mengurangkan beban kewangan untuk meneruskan pembelajaran kerana ibu bapa saya masih menyokong adik-beradik yang lain,” katanya.

Jermaine yang berasal daripada keluarga sederhana berkata, kemampuan kewangan keluarga pernah menjadi antara perkara yang membimbangkannya ketika memikirkan peluang melanjutkan pengajian.

Kesedaran itu akhirnya menjadi pembakar semangat untuk beliau memberikan lebih tumpuan terhadap akademik selain aktif dalam kokurikulum dan kepimpinan bagi meningkatkan peluang mendapatkan tajaan pendidikan.

Usaha itu membuahkan hasil apabila bekas pelajar SM St. Michael Penampang berkenaan memperoleh keputusan cemerlang 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum sekolahnya.

Jermaine berkata, penerimaan biasiswa juga membawa tanggungjawab lebih besar untuk menggunakan peluang pendidikan yang diberikan bagi menyumbang semula kepada masyarakat.

“Dream big but work harder. Biasiswa ini sebenarnya suatu tanggungjawab yang kita perlu pegang. Ia bukan sahaja bantuan kewangan, tetapi peluang untuk kita memberi semula kepada komuniti, terutamanya komuniti luar bandar yang kurang mendapat perhatian di Sabah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima PESP 2026, Aleesyah Annessa Juhailee, 18, dari Kota Belud turut menyifatkan tajaan PETRONAS sebagai peluang besar yang membantu mengatasi kekangan kewangan keluarganya.

Aleesyah yang berasal daripada keluarga kumpulan berpendapatan B40 berkata, beliau tidak menyangka akan dipilih menerima tajaan berkenaan selepas selama ini menganggap dirinya sebagai pelajar sederhana yang perlu bekerja keras untuk mencapai keputusan cemerlang.

“Saya sangat-sangat gembira dan bersyukur sebab langsung tidak terlintas di fikiran saya PETRONAS akan memilih saya.

“Saya menganggap diri saya sebagai pelajar sederhana yang bekerja sangat keras dan mahu melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.

Aleesyah berjaya memperoleh 9A dalam SPM dan akan melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, antara cabaran terbesarnya sebagai pelajar ialah berdepan tekanan akademik dalam masa sama memikirkan kekangan kewangan keluarga untuk membiayai pendidikan.

Katanya, bantuan yang disediakan melalui tajaan PETRONAS termasuk elaun, tiket penerbangan, elaun buku dan wang pendahuluan amat bermakna, khususnya bagi menyediakan kelengkapan pengajian.

“Pada semester pertama, PETRONAS memberikan kami wang pendahuluan dan ia sangat membantu saya membeli komputer riba. Sebab saya daripada keluarga B40, komputer riba itu di luar kemampuan saya.

“Saya juga dapat membeli tablet untuk meneruskan pengajian dan bantuan itu sangat membantu saya,” katanya.

Aleesyah turut memasang impian untuk menjadi Senior Mechanical Engineer dan berharap dapat kembali menyumbangkan ilmu serta kepakaran kepada Sabah selepas menamatkan pengajian.

“Harapan saya selepas ini adalah supaya saya dapat menyumbang semula apa yang sudah diberikan, terutamanya kepada negeri saya yang tercinta, Sabah di bawah bayu,” katanya.