PM Dijangka Umum Beberapa Perkara Untuk Sabah Esok – Mustapha

PM Dijangka Umum Beberapa Perkara Untuk Sabah Esok – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa perkara sempena sambutan Hari Kebangsaan esok, termasuk perkembangan yang berpotensi menyentuh kepentingan Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, antara perkara yang sedang diberi perhatian ialah proses mewartakan bayaran interim RM1.5 bilion supaya ia dapat dijadikan bayaran tahunan buat masa ini.

“Insya-Allah esok Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa perkara. Kita tunggulah apa pengumuman tersebut.

Antara yang telah disebut sebelum ini adalah bayaran interim RM1.5 bilion. Yang itu kita dalam proses untuk wartakan supaya ia menjadi bayaran tahunan interim buat masa ini sehingga ia ditingkatkan lagi pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M di Masjid Al-Ikhwan, Taman Kuala Menggatal, di sini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beberapa isu lain yang memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah turut disuarakan kepada Kerajaan Persekutuan, antaranya harga tiket penerbangan yang tinggi serta isu kuota diesel.

“Kita sudah suarakan antaranya masalah tiket penerbangan yang semakin tinggi, isu kuota diesel juga kita suarakan.

“Jadi kita harap pihak Kementerian Kewangan dan pihak kerajaan akan menimbangkan suara-suara rakyat ini untuk diperbaiki mengikut keadaan ekonomi semasa negara,” katanya.

Mengulas mengenai Belanjawan 2027, Mustapha berkata, keperluan dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus dibawa untuk perhatian Kerajaan Persekutuan, termasuk melalui perbincangan di peringkat Kabinet.

“Saya sendiri suarakan di peringkat Kabinet tentang suara-suara daripada Sabah dan juga Sarawak ini.

“Kita ada beberapa lagi; esok sempena Hari Kebangsaan, kita ada lagi Hari Malaysia pada 16 September nanti di Sarawak. Mungkin ada juga yang akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dan akhirnya masa pembentangan Belanjawan 2027. Jadi sama-sama kita tunggu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata pihaknya akan meneliti permohonan pembinaan sebuah dewan masyarakat di Taman Kuala Menggatal selepas perkara itu dibangkitkan jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.

Menurutnya, tapak berkenaan sudah diwartakan dan usaha akan dilakukan untuk mendapatkan peruntukan sama ada menerusi program Kampung Angkat MADANI atau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Saya sendiri akan cuba mendapatkan peruntukan, sama ada melalui Kampung Angkat Madani ataupun peruntukan daripada ICU untuk kita wujudkan mungkin secara permulaannya dewan terbuka untuk kegunaan masyarakat sekitar dahulu,” katanya.

Beliau berkata, keperluan menyediakan tapak perkuburan baharu turut menjadi antara keutamaan di Parlimen Sepanggar berikutan pertambahan penduduk dan kapasiti tanah perkuburan sedia ada yang semakin terhad.

Bagaimanapun, katanya, cabaran utama ketika ini adalah mendapatkan kawasan tanah yang sesuai bagi tujuan berkenaan.

Mengenai Sambutan Maulidur Rasul, Mustapha berkata program itu merupakan tahun ketiga dianjurkan di Parlimen Sepanggar dan kali ini diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.

Beliau menyifatkan penyertaan masyarakat, khususnya generasi muda, sebagai amat menggalakkan dan program seumpama itu akan diteruskan di lokasi lain pada masa akan datang.

“Saya mengharapkan dengan program ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat, utamanya anak muda, betapa pentingnya kita mengenali Nabi Muhammad SAW yang perlu kita contohi.

“Baginda adalah tauladan untuk kita. Marilah kita sama-sama memaknai pendidikan yang Baginda telah sampaikan kepada kita dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.