KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 485,939 orang daripada 5.7 juta pemilih baharu berumur 18 tahun yang telah didaftarkan adalah warga Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama yang mengandungi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.7 juta orang telah diwartakan pada 14 Januari 2022.
“Pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaraan pemilih secara automatik membawa kepada peningkatan jumlah pemilih berdaftar daripada 15.3 juta orang pemilih sebelum ini kepada 21.0 juta orang pada 31 Disember 2021.
“Daripada 5.7 juta pemilih baharu yang telah didaftarkan itu, seramai 485,939 orang adalah warga Sabah. Pertambahan ini menjadikan jumlah pemilih berdaftar di Sabah meningkat daripada 1,184,415 orang sebelum ini kepada 1,670,354 orang,” katanya pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Mengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik, di Dewan Bankuasi, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Haji Kadzim M Yahya.
Dewan Undangan Negeri pada 21 November 2019, telah meluluskan Rang UndangUndang Perlembagaan Sabah (Pindaan 2021) menurunkan had umur warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun dengan undian sebulat suara. Pindaan ini telah dikuatkuasakan pada 19 Disember 2019.
Ketua Menteri berkata, pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap DUN.
“Saya percaya semua wakil rakyat berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 yang lalu.
“Semua ahli Parlimen yang terdiri daripada pelbagai parti telah bersatu hati untuk menurunkan umur pengundi dan calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik,” katanya.
Hajiji berkata, pertambahan jumlah pengundi ini juga sudah pasti menjadikan tanggungjawab wakil rakyat semakin lebih besar.
“Justeru, saya meminta kepada semua wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus berusaha untuk mendekati pengundi muda di kawasan masing-masing dan perbanyakkan aktiviti bersama golongan muda, yang akan memberi manfaat kepada mereka.
“Ini kerana golongan muda agak kurang menceburi parti politik kecuali diajak oleh ibu bapa atau rakan seusia mereka. Sebab itu, kita perlu memikirkan pendekatan yang sesuai terutama memahami pemikiran dan kehendak golongan muda,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama bagi memastikan demokrasi negara ini dapat terus disuburkan dengan penglibatan semua pihak dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri ini terus terpelihara.