JPA Arah Agensi Kerajaan Utamakan Bahasa Melayu Dalam Semua Urusan

JPA Arah Agensi Kerajaan Utamakan Bahasa Melayu Dalam Semua Urusan

0
SHARE

PUTRJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengarahkan semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan supaya mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan.

Arahan tersebut dinyatakan dalam Surat Edaran bertarikh 29 Oktober 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, sebagai kesinambungan usaha kerajaan memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam.

Menurut JPA, Bahasa Melayu hendaklah digunakan secara menyeluruh dalam semua aspek urusan rasmi termasuk nama, tema, tajuk, latar belakang, isi kandungan serta apa-apa maklumat berkaitan aktiviti, program dan projek kerajaan.

Langkah ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) di bawah Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam.

Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menjelaskan, penggunaan Bahasa Melayu secara meluas bukan sahaja memperkukuh identiti nasional tetapi juga memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang seragam, jelas dan mudah difahami oleh rakyat.

“Bahasa Melayu perlu diberi keutamaan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan bagi menjaga keseragaman pentadbiran dan memperkukuh dasar kebangsaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau turut menegaskan agar semua ketua jabatan meneliti, menyemak dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan arahan ini tidak menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta tidak memberi implikasi perundangan kepada kerajaan.

“Perhatian serius hendaklah diberikan terutama bagi perkara yang melibatkan kepentingan awam dan negara,” tegasnya.

Surat edaran tersebut turut diedarkan kepada semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan, setiausaha suruhanjaya perkhidmatan, serta ketua pengurusan pihak berkuasa berkanun dan tempatan di seluruh negara.