KJ Dikatakan Kembali Sertai Umno, Bantu BN Hadap PRU Sabah

KJ Dikatakan Kembali Sertai Umno, Bantu BN Hadap PRU Sabah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka menyertai semula Umno menjelang Pilihan Raya Umun (PRU) Dewan Undangan Sabah yang dijadual berlangsung pada hujung bulan November ini.

Menurut sumber parti, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi restu kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk kembali ke pangkuan parti.

Perkara itu difahamkan telah disampaikan sendiri ketika majlis perkahwinan anak Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.

“Zahid meminta Khairy menghantar borang keahlian baharu dan membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Sabah. Ramai calon di sana seangkatan dengannya dari segi generasi politik,” kata sumber itu memetik Berita Harian.

Khairy, yang kini menjadi penyampai radio Hot FM, juga dikatakan sedang dipertimbangkan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kepala Batas pada pilihan raya umum akan datang.

Kerusi tersebut milik tradisi mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, sumber lain dalam Umno memaklumkan parti belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Khairy setakat ini.

Khairy dipecat daripada parti pada Januari 2023 selepas mengkritik kepimpinan tertinggi Umno ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, beliau sebelum ini menegaskan tidak akan menyertai mana-mana parti lain dan kekal setia kepada Umno.

Dalam PRU15, beliau bertanding di kerusi Sungai Buloh di bawah tiket BN dan tewas kepada calon Pakatan Harapan Datuk Seri R Ramanan.

Sepanjang kariernya, Khairy pernah memegang beberapa portfolio penting termasuk Menteri Belia dan Sukan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Menteri Kesihatan, dengan rekod cemerlang semasa pengurusan vaksinasi Covid-19 dan penganjuran Sukan SEA 2017.