KM HAJIJI SAMBUT BAIK RUU BERI AUTONOMI PERBEKALAN ELEKTRIK SABAH

KM HAJIJI SAMBUT BAIK RUU BERI AUTONOMI PERBEKALAN ELEKTRIK SABAH

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 bagi membolehkan proses dan urusan penyerahan kuasa autonomi pembekalan elektrik kepada Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata DUA (2) RUU tersebut yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam merupakan susulan mesyuarat di antara kerajaan negeru dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Putrajaya pada Ogos lepas.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, mesyuarat terbabit adalah bagi membuat ketetapan rancangan untuk Sabah mengawal selia bekalan elektrik dan gas sendiri serta mendapatkan semula kawalan kuasa syarikat utiliti, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Rancangan terbabit sedang dilaksanakan dan ini termasuk penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah supaya pihak berkuasa kawal selia bekalan elektrik boleh dipindahkan daripada kerajaan Persekutuan ke Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga berkata pihaknya dijangka bakal membentangkan Bekalan ElektrikRang Undang-undang Enakmen, Rang Undang-undang Enakmen Tenaga Boleh Diperbaharui dan Rang Undang-undang Enakmen Suruhanjaya Tenaga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada November tahun ini.

Berikutan itu, beliau menjelaskan pihaknya juga menjangkakan untuk mengambil semula SESB dengan liabiliti sifar apabila Pelan Transformasi SESB berjaya disiapkan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang.

Sehubungan dengan itu, pihaknya sedang berusaha dengan keras bagi memastikan peralihan lancar dan semuanya akan berjalan mengikut perancangan.

Dalam perkembangan lain, semalam media melaporkan Takiyuddin ketika membentangkan bacaan kedua RUU tersebut mengatakan berkata pindaan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyemak semula pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan hak serta kuasa autonomi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan kepada Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, ini disebabkan kuasa pembekalan elektrik ketika ini di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan yang mana dalam hal itu, pembekalan elektrik di Sabah membabitkan pelaksanaan mekanisme Tarif Galakan (FiT) yang dikawal selia oleh Akta Tenaga Boleh Baharu 2011.