BELURAN, SABAH – Pemimpin akar dingatkan agar mengetepikan sebarang perbezaan fahaman politik untuk membuka laluan kerjasama dalam gerakan dakwah serta isu membabitkan kepentingan umat Islam.
Ketua Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Belia Usia) Jamawi Jaafar berkata institusi agama perlu dipelihara dan bebas daripada unsur politik, menegaskan campur tangan politik dalam urusan hal ehwal agama cuma mendatangkan keburukan dan perpecahan ummah.
“Kita wajar mengetepikan perbezaan politik, khususnya dari segi kepentingan agama, pendidikan dan membantu orang miskin…
“Jangan disebabkan individu itu pengerusi surau dan tidak sealiran (fahaman) politik, kita tidak mahu terlibat dalam program yang dianjurkan.
“Umat Islam perlu bersatu padu dan memandang ke hadapan dalam menegakkan syiar islam di negara ini sekali gus menjadi model kepada masyarakat Islam sedunia” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Mahabah Belia Usia Pusat Ke kampung Keniogan Beluran dekat sini baru baru ini.
Hadir sama Naib Ketua Belia Usia Pusat Jamlie Suntang, Penolong Setiausaha Belia Usia Pusat Imam Mohd Taslim Tahir, Penolong Bendahari Belia Usia Pusat Azman Jantan ,Ketua Belia Usia bahagian Beluran Haji Lokman Datuk Haji Madlis dan Ketua Kampung Keniogan Haji Aziz Datuk Haji Madlis.
Menurut Jamawi yang juga Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) usaha untuk memperkukuhkan syiar islam bukan hanya terletak pada majlis atau jabatan agama Islam sahaja namun ianya perlu kerjasama dari semua pihak badan-badan NGO Islam serta masyarakat Islam agar usaha untuk memperkasakan gerakan dakwah dapat ditingkatkan
Dalam pada itu Jamawi yang juga bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia mengingatkan golongan belia khusunya di kampung tersebut agar merebut peluang disediakan oleh kerajaan untuk memajukan diri dengan mengambil pelbagai peluang yang disediakan kerajaan sebagai usaha meningkakan ilmu pengetahuan
Katanya golongan belia perlu memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan dengan minat atau potensi diri untuk menghadapi dunia yang semakin mencabar.
Beliu berkata golongan belia boleh merujuk kepada agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Belia dan Sukan, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Giat Mara, Pusat Latihan Pertanian dan lain-lain agensi yang ada menyediakan sebarang kursus yang diminati agar boleh membantu para belia meningkatkan ilmu serta kemahiran yang ada.
Mengenai program tersebut Jamawi berkata ianya dilaksanakan bertujuan mengakarumbikan gerakan dakwah bukan sahaja di kalangan golongan belia sekali gus masyarakat Islam setempat.
“Agak lama Belia Usia tidak dapat melaksanakan program seperti ini ekoran kakangan penularan Pandemik Covid-19 yang melanda dunia, namun kita bersyukur keadaan semakin pulih bagi membolehkan kita turun padang bersemuka dengan masyarakat Islam dan program ini akan kita teruskan ke lain lain bahagian” katanya.
Pelbagai acara diadakan sempana program tersebut antaranya Forum Agama, Sukan Neka dan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.