KOTA KINABALU, SABAh – Datuk Seri Masidi Manjun selaku Jurucakap Rasmi COVID-19 Sabah pada hari ini (Khamis) telah memaklumkan (SOP) negeri bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Masidi mengatakan bahawa aktiviti ‘takbir raya’ akan dibenarkan di masjid dan surau sahaja tetapi bukan dari rumah ke rumah.
“Amalan solat sunat dibenarkan mengikut Pihak Berkuasa Agama Negeri Sabah…
“Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan golongan berisiko tinggi tidak digalakkan untuk menurut serta,” katanya.
Beliau memperinci bahawa jamuan boleh dihidang selepas solat Hari Raya tetapi ia mesti disajikan dalam bentuk berbungkus dan diedar kepada para Jemaah untuk dibawa pulang.
“Ziarah rumah Hari Raya akan dibenarkan tetapi hanya kepada kalangan ahli keluarga terdekat, tidak melebihi 20 orang yang tinggal di dalam daerah sama dan jumlah itu juga tertakluk kepada saiz kapasiti rumah…
“Aktiviti ziarah kubur juga dibenarkan tetapi terhad kepada enam orang bagi satu lot kuburan dengan had masa 30 minit dimana penjarakan fizikal mesti sentiasa dipatuhi.”
Tegas beliau, penganjuran sebarang majlis Hari Raya dan rumah terbuka adalah tidak dibenarkan.
“Semua aktiviti di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan,” tambahnya lagi.
Di samping itu, Kerajaan Negeri Sabah juga telah memutuskan AKTIVITI RENTAS DAERAH tidak dibenarkan mulai 10 hingga 16 Mei 2021 kecuali atas urusan kecemasan.

“Dalam tempoh ini, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah…
“Pihak PDRM akan melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mengawal pergerakan rentas daerah semasa tempoh yang dinyatakan,” Masidi berkata.