ALOR SETAR – Seramai 150 murid dan pengusaha pondok serta pusat tahfiz menghadiri ceramah keselamatan kebakaran di institusi pondok dan pusat tahfiz zon utara hari ini bagi memberi pendedahan isu keselamatan.
Menurut laporan Harian Metro, dipetik sebagai berkata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamad Mustakim Mukhtar bahawa, program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sebuah hotel di Alor Setar ini membabitkan institusi agama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Menurutnya, salah satu slot ceramah adalah berkaitan isu-isu keselamatan bangunan institusi pondok dan pusat tahfiz.
“Ceramah keselamatan kebakaran diaspirasikan kepada semua mudir atau pengusaha bagi mensifarkan kebakaran dari tahun ke tahun.
“Dengan kesedaran keselamatan kebakaran yang disampaikan ini sedikit sebanyak memberi impak dari dalam diri setiap peserta supaya keselamatan kebakaran diutamakan walau apa jua situasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamad Mustakim berkata, pelbagai kesalahan bahaya kebakaran didedahkan supaya ia tidak berlaku di pondok dan pusat tahfiz.
“Selain itu turut diwar-warkan pendaftaran dan penubuhan skuad bomba sekolah pondok.
“Semua pondok dan tahfiz tidak boleh menidakkan penubuhan skuad bomba ini kerana ia penting bagi pelajar serta warga institusi terbabit diberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran,” katanya.
Katanya, skuad bomba sekolah pondok ini juga berperanan sebagai responder pertama jika kebakaran kecil dan memaklumkan kepada bomba jika kebakaran besar.