KOTA KINABALU, SABAH – Sebuah webinar bertajuk ‘Jenaka Rogol Bukan Isu Remeh’ yang diadakan pada Selasa (4 Mei) baru-baru ini di platform Google Meet mencungkil cadangan kritis lebih daripada 100 orang peserta.
Badan pemikir bagi Kerajaan Negeri dalam isu-isu wanita, Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), selaku pengajur berjaya mencapai 800 tontonan di atas platform Facebook Live.
Pengerusinya Datuk Dr Tarsiah TZ Taman berkata webinar itu bertujuan untuk memberikan kesedaran berhubung isu gangguan seksual khususnya membabitkan gadis-gadis remaja.
“MPWS mengambil berat isu yang tular berhubung tindakan seorang guru yang didakwa membuat jenaka rogol sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran di sebuah sekolah baru-baru ini…
“Webinar ini diadakan untuk memberikan kesedaran mengenai hak-hak perundangan dan impak psikologi dan gender serta peranan pihak-pihak yang berkaitan khususnya ibu bapa,” katanya.
Tambah beliau sehingga kini webinar tersebut sudah mendapat kira-kira 70 tanda suka, 80 perkongsian, dan mencapai 2,000 orang di Facebook.
Katanya antara cadangan yang dterima daripada peserta adalah sekolah perlu mempunyai kod etika dan prosedur khusus berkaitan gangguan seksual, contohnya dari segi pertuturan, tingkahlaku guru/pelajar.
“Mengadakan libaturus bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) – bagi menubuhkan jawatankuasa pemantauan PIBG yang berperanan untuk membantu menyelesaikan masalah dan sebagai salah satu saluran aduan…
“Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di sekolah dan menganjurkan program kesedaran kepada mangsa agar berani tampil membuat aduan/laporan polis.
“Mengadakan advokasi kesedaran gender, contohnya, program outreach (capaian) di sekolah dan meningkatkan kesedaran ibu bapa agar memainkan peranan lebih banyak khususnya bagi memantau anak-anak, contohnya dari segi aktiviti, rakan sebaya dan sebagainya,” kata Dr Tarsiah dalam sebuah kenyataan hari ini.
Dalam webinar itu, Dr Tarsiah turut bertindak selaku moderator manakala ahli-ahli panel pula terdiri daripada Datin Malianah Ugau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan MPWS, Prof Madya Dr Muhammad Idris Bullare @ Bahari (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sosial MPWS), Noraini Idris (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Undang-Undang MPWS) dan Fauziahton Ag Samad (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Gender MPWS).