Koperasi Sektor Perumahan Sumbang RM128 Juta Tahun Lalu

Koperasi Sektor Perumahan Sumbang RM128 Juta Tahun Lalu

0
SHARE
Ewon
Ewon ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul milik Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (KPSPB) - ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, koperasi sektor perumahan di seluruh negara mencatatkan perolehan sebanyak RM128 juta tahun 2022.

Beliau berkata, ia disumbangkan oleh 308 koperasi yang terlibat dalam sektor perumahan di seluruh negara.

“Ini merupakan satu pencapaian membanggakan di mana Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan memain peranan penting membangunkan Gerakan Koperasi di Malaysia secara holistik.

“Saya berharap kontraktor yang terpilih melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.

“Pemantauan secara berkala oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga penting untuk memastikan kemajuan dan kualiti kerja projek ini berada dalam kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul milik Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (KPSPB), di sini, hari Ini.

Projek ini adalah usahasama antara KPSPB selaku pemilik tanah dan pemaju projek Menarez Development Sdn. Bhd.

Melalui usahasama ini, Menarez Development Sdn. Bhd akan membangunkan sebuah blok 29 tingkat Residensi Wilayah dengan 322 unit kediaman pada harga RM300,000.

Projek yang dianggarkan bernilai RM120 juta ini selari dengan objektif penubuhan KPSPB untuk menyediakan kemudahan rumah mampu milik kepada penduduk sekitar Kuala Lumpur termasuk anggota Koperasi.

Ewon berkata, sehingga Disember 2022, secara keseluruhannya sektor Koperasi di seluruh negara mencatat perolehan sebanyak RM45.50 bilion dengan jumlah keseluruhan anggotanya seramai 7.30 juta orang.

Beliau berkata, perolehan itu disumbangkan oleh sebanyaka 15,315 koperasi yang menjalankan pelbagai bidang ekonomi antaranya kredit, pembinaan, perumahan, pengangkutan, pengguna, perindustrian, perkhidmatan dan pertanian.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar, Pengerusi Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad, Abdul Hakim Abdul Wahab, Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn.Bhd, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff dan Pengarah Urusan Menarez Development Sdn Bhd Bryan Lee Lun Teong.