Sahabat AIM Perlu Lebih Kreatif Teroka Perniagaan Menerusi ‘Online’, Pacu Promosi Produk...

Sahabat AIM Perlu Lebih Kreatif Teroka Perniagaan Menerusi ‘Online’, Pacu Promosi Produk Lebih Meluas

0
SHARE

BEAUFORT: Peminjam atau Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu lebih kreatif meneroka perniagaan secara dalam talian bagi mempromosikan produk secara lebih meluas.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, Sahabat AIM perlu memanfaat media sosial untuk memajukan perniagaan mereka.

“Ini kerana kecanggihan teknologi masa kini menjadikan perniagaan lebih mudah tanpa menggunakan kos pemasaran yang tinggi berbanding kaedah konvensional yang memerlukan banyak tenaga, masa dan wang ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan AIM Fun Family Day di sini, semalam.

Ruslan yang juga ADUN Lumadan berkata, Sahabat AIM khususnya di daerah ini diingatkan untuk memohon Lesen Perniagaan bagi memudahkan transaksi perniagaan.

Katanya, meskipun Sahabat AIM telah lama wujud namun kebanyakan mereka yang berniaga kecil-kecilan masih belum ada memiliki lesen perniagaan.

“Bantuan julung kali yang diberikan kepada peniaga tepi jalan itu merupakan tanda keprihatian kerajaan semasa terhadap golongan berkenaan sekali gus sebagai inisiatif membasmi kemiskinan.

Sebenarnya kita di Beaufort ini memang sudah wujud lama AIM tetapi bagi kita mereka hanya berniaga kecil-kecilan. Jadi kita perlu angkat mereka sebagai usahawan yang lebih berdaya maju lebih bersaing, lebih berkembang pesat.

“Kita menyarankan supaya mereka memohon lesen perniagaan kerana itu asas perniagaan. Jadi maknanya mereka boleh belajar cara mana untuk mengurus kewangan, ini juga sangat ditekankan.

“Sebab kalau kita tidak ada pendedahan cara mana kita mengurus wang perniagaan, kita tidak dapat mengembangkan perniagaan kita sebab banyak duit pun kalau kita tidak dapat uruskan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menambah peruntukan RM7 juta kepada AIM cawangan Beaufort tahun depan bagi membolehkan lebih ramai usahawan kecil-kecilan dibantu.

“Ketika ini, AIM Cawangan Beaufort menerima peruntukan RM13 juta namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat,” jelasnya.