KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 22 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya di sini, dengan alasan mahu mencari pekerjaan pada 7 Ogos lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam satu kenyataan memaklumkan, wanita berkenaan dikenali sebagai Nurul Ain Norsalih dan kali terakhir dilihat keluar dari rumah kira-kira jam 1 petang.
“Penama dilaporkan keluar dari rumah pada 7 Ogos 2026 sekitar jam 1 petang dengan alasan untuk mencari pekerjaan.
“Sehingga kini, penama masih belum pulang ke rumah dan usaha menghubunginya melalui telefon serta bertanya kepada saudara-mara dan rakan-rakannya tidak berhasil,” menurut kenyataan itu di sini, semalam.
Menurut IPD Kota Kinabalu, ketika kali terakhir dilihat, Nurul Ain memakai seluar panjang berwarna hitam, baju kelabu, beg sandang berwarna coklat dan kasut putih.
Usaha mengesan wanita berkenaan sedang dijalankan pihak polis termasuk di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu, Pasar Besar Kota Kinabalu serta kawasan berhampiran.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan penama diminta menghubungi Balai Polis Pulau Gaya atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengesannya,” menurut kenyataan itu lagi.
Polis turut menghargai kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu pencarian wanita berkenaan.






