Lelaki Terjun Laut, Syabu Lebih RM550,000 Dirampas di Semporna

Lelaki Terjun Laut, Syabu Lebih RM550,000 Dirampas di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.06 kilogram dadah disyaki syabu bernilai lebih RM550,000 dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, awal pagi semalam.

Komander PPM W4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, pasukan operasi mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sebelum seorang lelaki di atas bot terbabit terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan ketika cuba dihampiri polis.

“Usaha mengesan suspek dijalankan namun gagal menemui individu berkenaan.

Hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 11 bungkusan berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan berat kasar 11.06 kilogram,” katanya.

Nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM550,000, manakala keseluruhan rampasan termasuk bot bernilai lebih RM578,000.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ahmad Amri berkata, sepanjang tahun ini, PPM W4 Sabah merekodkan 15 kes di bawah akta sama melibatkan 24 tangkapan, dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM718,000.