KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah ditugaskan untuk memantau dan menangani ancaman siber susulan peningkatan serangan seperti itu di peringkat global baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata isu itu melibatkan keselamatan negara dan Majlis akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan.
“Kerajaan sedar dengan ancaman seperti itu… oleh itu kita mesti melindungi negara daripadanya.
“Dan fokus kita adalah untuk memastikan teknologi kita dinaik taraf dari masa ke masa kerana ancaman seperti itu berlaku secara konsisten,” katanya semasa majlis rumah terbuka Hari Raya di kediamannya di Likas, di sini pada malam Sabtu lepas.
Beliau turut mengigatkan pengguna siber agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan serangan seperti itu.
“Ancaman itu boleh berlaku di mana-mana dan kerajaan telah menugaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangani perkara itu… dan dari pihak Kementerian saya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Kita juga bekerjasama dengan negara lain untuk menangani isu itu. Apa yang lebih penting ialah kita perlu menerima hakikat bahawa ancaman seperti itu adalah berterusan.”
Pada Mei, pelbagai organisasi dan syarikat di seluruh dunia terjejas akibat serangan siber pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Serangan itu tersebar dengan pantas di seluruh dunia menerusi WannaCry, sejenis perisian hasad yang dipanggil ransomware yang menyulitkan fail pada komputer terjejas dan menuntut wang menerusi matawang maya bitcoin untuk membuka kuncinya.
Ia menjejaskan 300,000 komputer di 150 negara, termasuk Malaysia.
Bagaimanapun, menurut satu kajian baru-baru ini oleh Malwarebytes, sebuah pencegahan perisian hasad dan penyelesaian pemulihan, mendapati bahawa Malaysia boleh dikatakan selamat daripada ad fraud, adware dan ransomware dengan kadar jangkitan adalah kurang daripada satu peratus dalam kategori ini, dua kali ganda lebih kecil daripada purata pasaran lain yang sedang membangun.
Bagaimanapun, Malaysia masih berada dalam kedudukan 30 teratas dalam kategori ini.
Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa CyberSecurity Malaysia (CSM) menggesa mereka yang terjejas oleh serangan ransomware agar melaporkan insiden tersebut kepada mereka.
Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab dilaporkan sebagai berkata bahawa ini akan membantu CSM menjalankan analisis teknikal dan mengesahkan apa ransomware yang terlibat.
Sementara itu, Salleh mengulangi kepentingan kestabilan dan keharmonian lestari di negara ini.
“Umumnya, negara kita adalah stabil walaupun kita berdepan banyak cabaran ekonomi tetapi rakyat, secara keseluruhannya, hidup selesa dan kita harus mengekalkan ini.
“Kita harus mengetepikan perbezaan politik kita dalam isu yang melibatkan semua orang seperti keselamatan negara,” katanya.
Turut hadir di majlis rumah terbuka Hari Raya di kediamanDatuk Seri Salleh Said Keruak di Likas ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang.
– HarianEkspres