TENOM, SABAH – Pemandu sebuah kereta Perodua Kembara meninggal dunia apabila bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Kg Sapong, Jalan Tenom-Kemabong, semalam.
Manakala, penumpang kenderaan terbabit, seorang wanita 71 tahun mengalami cedera parah.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Panggilan kecemasan berhubung insident diterima Balai Bomba dan Penyelamat Tenom pada jam 11.46 pagi.
Sepasukan lima anggota tiba ke lokasi berjarak kira-kira 11 kilometer daripada balai dalam masa sembilan minit.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan empat tong yang mana satu berisi klorin telah bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara.
“Mangsa meninggal dunia berjaya dikeluarkan dari kenderaan manakala mangsa wanita yang mengalami cedera parah telah dihantar ke Hospital Tenom menggunakan ambulans KKM sebelum ketibaan pasukan.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata seorang jurucakap bagi agensi berkenaan.
Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.