KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) segera menangani isu kemudahan awam di Taman Perdana Tanjung Aru susulan aduan orang ramai.
Pengerusinya, David Chan berkata, walaupun pembukaan semula taman itu dialu-alukan sebagai lokasi rekreasi utama, beberapa kemudahan didapati masih memerlukan penyelenggaraan segera.
Antara isu dibangkitkan termasuk tandas awam yang kurang bersih dan berbau, laluan pejalan kaki rosak serta kemudahan air minuman yang perlu ditambah baik.
“Taman Perdana bukan sahaja untuk penduduk tempatan, malah turut dikunjungi pelancong. Kebersihan, keselamatan dan keselesaan perlu diutamakan kerana mencerminkan imej Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menggesa DBKK menjalankan pemeriksaan menyeluruh meliputi tandas, laluan pejalan kaki, sistem pencahayaan, perparitan, kolam dan kemudahan rekreasi lain.
Menurutnya, laluan rosak perlu dibaiki segera bagi mengelakkan risiko kemalangan, terutama melibatkan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
“Tandas awam mesti sentiasa bersih, selamat dan diselenggara berkala. Kemudahan yang uzur menjejaskan keselesaan serta imej bandar raya,” katanya.
YPNM turut mencadangkan jadual penyelenggaraan berkala diwujudkan serta tindakan segera diambil terhadap setiap aduan.
Dalam masa sama, orang ramai diseru menjaga kebersihan, mengelakkan vandalisme dan memelihara kemudahan awam.
“Taman Perdana adalah aset kebanggaan Kota Kinabalu dan tanggungjawab menjaganya perlu dipikul bersama,” katanya.






