PUTATAN, SABAH – Kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan penting untuk membendung aktiviti penipuan dalam talian ataupun scammers.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata kerajaan dari masa ke semasa akan sentiasa bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk memastikan kegiatan scammers dapat dibendung di samping memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Namun demikian, ianya merupakan satu cabaran kerana scammers juga kreatif dalam melaksanakan tipu daya mereka.
“Saya berpesan kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu ataupun teknik scammers yang semakin kreatif menggunakan kecanggihan teknologi digital masa kini,” katanya semasa ditemui media selepas merasmikan Program Townhall Discussion dan Karnival Keselamatan Jalan Raya Tahun 2023.
Shahelmey turut menzahirkan harapan agar program seperti itu diteruskan kerana menjadi medium komunikasi dua hala yang berkesan antara kerajaan dengan masyarakat secara langsung.
“Penting bagi pihak kerajaan bersama jabatan berwajib bekerjasama dan berkongsi maklumat untuk memastikan tahap kesedaran serta kepekaan masyarakat tentang aktiviti scammers,” ujarnya.
Semasa program sehari anjuran Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Sabah yang diadakan di Dewan Sri Putatan tersebut, Shahelmey juga berpesan kepada orang ramai agar bersama-sama menjalankan tanggungjawab komuniti prihatin dalam membanteras dan mengawal penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur. — JABATAN PENERANGAN SABAH





