
KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Lembaga Pengarah K.K.I.P. Power Sdn Bhd Datuk, Dr Joseph Lee Han Kyun, menyatakan kekecewaan dengan “hadiah” perpisahan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang diumumkan sehari selepas Hari Natal lalu.
Beliau menjelaskan ianya adalah lonjakan 242 peratus dalam surcaj Ketidakseimbangan Kos Laluan (ICPT).
Pengumuman pada Selasa lepas dibuat kurang seminggu sebelum penyerahan kuasa kawal selia secara rasmi daripada ST kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 3 Januari 2024.
“Kadar surcaj dikenakan kepada semua pengguna elektrik yang mengambil bekalan pada voltan sederhana dan ke atas.
“Ini meliputi majoriti pemain industri secara relatifnya berskala kecil atau sederhana termasuk pusat beli-belah dan hotel dan lain-lain di Sabah dan Labuan.
“Ia adalah peningkatan tiga kali ganda daripada 2.11 sen setiap kWj kepada 7.21 sen setiap kWj.
“Tidak perlu dikatakan, bahawa ini asas kukuh untuk mencetuskan rantaian kenaikan harga dalam semua sektor,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Dalam pads itu, beliau turut berkata kenaikan harga itu akan memberikan kesan pada industri pembinaan dan pelancongan, perniagaan runcit, restoran serta yuran pengurusan kepada penyewa di kompleks komersial.
“Sebaliknya, pengguna kediaman yang menggunakan 1,500kWj sebulan atau dengan caj elektrik bulanan sekitar RM618 sebulan perlu bewaspada.
“Apabila penggunaan bulanan mereka mencecah 1,501 kWj, semua penggunaan unit akan dikenakan surcaj ICPT sebanyak 7.21 Sen seunit kWj.
“Ini bermakna peningkatan sebanyak RM 108.22 kepada bil mereka akan melonjak kepada penalti sebanyak RM726.22 secara serta-merta,” tambahnya.
Namun demikian, beliau berharap sebaik kuasa pengawalseliaan diambil alih oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada tahun hadapan, perkara itu boleh dibuat secara telus dan melibatkan lebih banyak industri tempatan dan pihak berkepentingan yang relevan.