Agen Tempatan Guna Toyota Corolla Bawa PATI Masuk Sabah

Agen Tempatan Guna Toyota Corolla Bawa PATI Masuk Sabah

0
SHARE
TUJUH (7) orang PATI Indonesia yang kini dalam tahanan Polis Tawau...

TAWAU, SABAH – Cubaan TUJUH (7) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau dipatahkan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Cubaan kumpulan terbabit pada jam 8.15 malam semalam digagalkan Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata tim berkenaan dengan menggunakan motosikal dan sebuah pacuan empat roda, telah mengesan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan yang merapat ke perkampungan rumah atas air, Batu 3 Tawau.

“Bot yang membawa PATI kemudiannya beredar dari kawasan tersebut dan kelihatan tujuh PATI dalam keadaan tergesa-gesa berlari menaiki sebuah kenderaan sedan jenis Toyota Corolla warna putih.

“Kenderaan terbabit dipercayai digunakan oleh agen untuk mengangkut PATI warganegara Indonesia ke destinasi seterusnya.

“Tim QRF bertindak mengekori rapat dan telah menahan kenderaan tersebut berhadapan Stesyen Minyak Petron Batu 3, Tawau,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kenderaan yang digunakan ejen bagi menyeludup PATI…

Abdul Karim berkata hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki dewasa warganegara Malaysia berusia 50 tahun yang bertindak sebagi agen dan tujuh warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen berada di dalam kenderaan tersebut.

“Mereka terdiri daripada dua (2) lelaki dewasa berusia 28 tahun dan 41 tahun, tiga (3) wanita dewasa berusia 31 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun bersama barang-barang persendirian,” katanya.

Maklumat awal yang diperolehi dari tahanan memaklumkan bahawa mereka telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau dan kemudiannya akan diambil oleh agen yang telah menunggu dengan menggunakan kenderaan darat menuju ke Bandar Tawau.

“Agen warganegara Malaysia tersebut telah ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007…

“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tawau pada jam 9.15 malam menggunakan kenderaan mengangkut pesalah Polis Diraja Malaysia,” tambahnya.

Kesemua PATI diserahkan kepada IPD Tawau bagi proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya.